Saturday, November 13, 2010

PENGUMUMAN JUMAAT 12 NOVEMBER 2010

PENGUMUMAN JUMAAT 12NOVEMBER 2010
(MASJID KARIAH PANCHOR JAYA)

ASSALAMU’ALAIKUM WBT, YANG DIMULIAKAN TUAN NAZIR, TUAN-TUAN IMAM, TUAN-TUAN BILAL, BARISAN JAWATANKUASA MASJID, PEGAWAI MASJID, DAN PARA JAMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKELIAN, BERIKUT ADA BEBERAPA PENGUMUMAN UNTUK PERHATIAN DAN MAKLUMAN PARA JAMAAH.

1. PENGUMUMAN PERTAMA, SATU PROGRAM CERAMAH BERHUBUNG DENGAN “PERKONGSIAN PENGALAMAN MISI BANTUAN DI GAZA” ANJURAN AQSA SYARIF NEGERI SEMBILAN DAN PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA DAERAH SEREMBAN AKAN DIADAKAN DI MASJID INI PADA HARI SABTU, 13 NOVEMBER SELEPAS SOLAT MAGHRIB. PENCERAMAH UNDANGAN TERDIRI DARIPADA DATO DR MUSA MOHD NORDIN DAN TUAN HJ NORAZMI BIN TALIB, AKTIVIS AQSA SYARIF YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG DALAM MISI BANTUAN DI GAZA. MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR KE PROGRAM CERAMAH TERSEBUT.

2. PENGUMUMAN KEDUA BERHUBUNG WAKTU SOLAT AIDUL ADHA; UNTUK MAKLUMAN TUAN-TUAN PARA JAMAAH, MASJID KARIAH PANCHOR JAYA AKAN MENGADAKAN SOLAT AIDUL ADHA PADA HARI RABU 17 NOVEMBER BERMULA PADA PUKUL 8.30 PAGI. AHLI KARIAH DIALU-ALUKAN UNTUK DATANG LEBIH AWAL UNTUK BERTAKBIR, TASBIH DAN BERTAHMID SEBELUM SOLAT AIDUL FITRI. (SILA ULANG)

A. PENGUMUMAN BERIKUTNYA, PROGRAM QURBAN DIADAKAN DI MASJID INI IAITU PADA HARI RABU 17 NOVEMBER 2010 BERSAMAAN HARIRAYA PERTAMA AIDILADHA BERMULA PADA PUKUL 9.30 PAGI. PROGRAM QURBAN TAHUN INI TELAH MENDAPAT PENYERTAAN SERAMAI 42 PESERTA DAN INI BERMAKNA SEBANYAK 6 EKOR LEMBU YANG AKAN DISEMBELIH UNTUK QURBAN.

B. PIHAK MASJID JUGA AMAT MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN TUAN-TUAN PARA JAMAAH UNTUK BERSAMA-SAMA DALAM GOTONG-ROYONG QURBAN HARI TERSEBUT. UNTUK PENGAGIHAN KEPADA AHLI KARIAH PULA, BOLEHLAH TUAN-TUAN HADIR DAN MENGAMBIL DAGING-DAGING TERSEBUT DI MASJID INI BERMULA PADA PUKUL 12.00 TENGAHARI.

C. JUSTERU ITU, PIHAK MASJID MOHON KEPADA PENGERUSI-PENGERUSI BADAN KEBAJIKAN PENDUDUK ATAUPUN PENGERUSI SURAU DALAM KARIAH PANCHOR JAYA UNTUK MENGEMUKAKAN NAMA-NAMA PENERIMA DAGING QURBAN YANG DIBERI KEUTAMAAN SEPERTI GOLONGAN FAKIR, MISKIN, IBU TUNGGAL, ANAK-ANAK YATIM DAN MEREKA YANG BERHAK UNTUK DISENARAIKAN SEBAGAI PENERIMA UTAMA DAGING QURBAN SEBELUM DIEDARKAN KEPADA AHLI KARIAH.

3. PENGUMUMAN KETIGA, SATU PROGRAM CUTI SEKOLAH IAITU MOTIVASI AL QURAN YANG DIANJURKAN OLEH AL INFITAH TRAINING & CONSULTANCY DENGAN KERJASAMA MASJID KARIAH PANCHOR JAYA AKAN DIADAKAN BERMULA PADA 22 NOVEMBER HINGGA 18 DISEMBER, 2010 SELAMA 4 MINGGU (DIJADUALKAN SETIAP HARI ISNIN HINGGA KHAMIS PADA SESI PAGI IAITU DARI PUKUL 8.30 PAGI – 12.30 PAGI).

PIHAK MASJID AMAT MENGALU-ALUKAN PENYERTAAN PELAJAR-PELAJAR DARI SEKOLAH RENDAH DAN JUGA SEKOLAH MENENGAH (YANG BERUMUR 9 – 16 TAHUN) UNTUK MENYERTAI PROGRAM INI.

SETERUSNYA PENGUMUMAN KULIAH-KULIAH AGAMA MINGGUAN.

4. KULIAH SUBUH AKAN DIADAKAN PADA HARI SABTU 13 NOVEMBER YANG AKAN DISAMPAIKAN OLEH YANG BERBAHAGIA DATO’ HJ MURTADZA BIN HJ SHEIKH AHMAD, MANTAN MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN.

5. KULIAH SUBUH AKAN DITERUSKAN LAGI PADA HARI AHAD, 14 NOVEMBER YANG AKAN DI SAMPAIKAN OLEH UST MOHD HAFIZI PENOLONG PENGARAH UNIT DAKWAH DAN KEPIMPINAN, JABATAN PELAJARAN NEGERI SEMBILAN. DAN PADA SEBELAH MALAM HARI AHAD TERSEBUT, KULIAH MAGHRIB AKAN DISAMPAIKAN OLEH YBHG USTAZ HJ ABDUL RAHMAN BIN SALLEH, YANG AKAN MENYENTUH BAB TASAWUF DENGAN MERUJUK KITAB SIRUS SALIKIN.

6. PENGUMUMAN TERAKHIR, KELAS TAJWID DAN BACAAN AL QURAN AKAN DI ADAKAN PADA HARI ISNIN, 15 NOVEMBER SELEPAS SOLAT MAGHRIB YANG AKAN DIKENDALIKAN OLEH UST HJ MOHD RADZI.

BAGI PIHAK JAWATANKUASA MASJID, MOHON TUAN-TUAN PARA JAMAAH DAPAT MENGHEBAHKAN PROGRAM-PROGRAM YANG TELAH DIRANCANG INI KEPADA AHLI-AHLI KARIAH YANG LAIN.

SEKIAN, ASSALAMU’ALAIKUM WBT.

AZMI MOHD YUSOF, MKPJ

Sunday, August 1, 2010

Kejadian Jenayah dan Pecah Rumah

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan,

Sejak kebelakangan ini sering didengari ada rumah warga Taman yang dipecah masuk oleh pencuri diwaktu siang hari semasa kebanyakan Warga keluar bekerja. Sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab ini ada terhadap rumah yang kedua-dua suami isteri bekerja dan yang balik ke kampung atau bercuti panjang.

Adalah dinasihatkan agar semua langkah-langkah keselamatan perlu dilakukan terlebih dahulu dan maklumkan kepada jiran tempuh lama Warga ingin meninggalkan rumah. Selain itu juga maklumkan cara SMS kepada balai Polis Paroi dan maklumi mereka tempuh ketiadaan anda.

SRS Taman perlu diaktifkan segera agar tindakan kawalan boleh dilakukan. Renung-renungkan lah!!!!!!!!

Kegiatan Ekonomi KRT

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan,

Kegiatan ekonomi adalah salah satu daripada aktiviti-aktiviti KRT. Kami bercadang untuk menyenaraikan semua aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh Warga Taman Ampangan Fasa 3. Senarai pengusaha dan peniaga ini akan disiarkan dalam Blog kita untuk makluman semua warga dan pengguna Internet yang lain. Secara tidak langsung ianya boleh mengembangkan lagi kegiatan perniagaan dan ekonomi warga Taman.
Kepada yang mempunyai web blog atau web side boleh juga dimaklumkan kepada kita agar kita boleh membantu melakukan pautan pada sesawang yang berkaitan.
Majukan kegiatan anda walau pun sekecil mana sekali pun terutama mereka yg melakukan secara sambilan untuk disiarkan. Hantar maklumat perniagaan anda melalui komen anda atau terus E-mail ke info.taf3@gmail.com

Friday, July 30, 2010

Pertandingan Akhir Koir Lagu-Lagu Patrotik 2010 Antara Kelab Rukun Negara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan

JPNIN dengan kerjasama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia menganjurkan Pertandingan Akhir Koir Lagu-Lagu Patrotik 2010 antara Kelab Rukun Negara Sekolah-Sekolah Menengah peringkat kebangsaan pada 30 Jul hingga 1 Ogos 10.

Sehubungan itu semua warga berserta AJK dan Jiran Muda KRT adalah diundang ke majlis tersebut. Pertandingan ahkir dijadualkan akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 1 Jul 10 (Ahad).
Masa: 9:30 pagi.
Tempat: Auditorium Tuanku Puan Chik, komplek Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban Negeri Sembilan.

Mohon semua AJK dan warga Taman dapat luangkan masa dan hadir dalam majlis tersebut. Terima Kasih.

Perjumpaan Pelaksanaan Program KRT 4/2010

Perjumpaan Pelaksanaan Program KRT 4/2010 ini bertujuan untuk membentangkan Program Perpaduan, menyalurkan maklumat dari JPNIN kepada semua penduduk dan mengiratkan perpaduan serta perhubungan siratulrahim antara kita.

Perjumpaan KRT diadakan seperti berikut:

Tarikh: 30 Jul 10 (Jumaat).
Tempat: Kedai Bunga, 1330, Lorong Cenggal 25/1, Taman Ampangan Fasa 3.
Masa: 9:00 mlm.

Mohon semua AJK atau wakil dapat luangkan masa dan hadir dalam perjumpaan ini agar segala penerangan dan maklumat berkaitan KRT dapat disampaikan. Beramai-ramailah kita menghadirinya bagi mengiratkan persahabatan antara kita. Ketidakhadiran AJK dan wakil boleh membantutkaan kelancaran program.

Gotong Royong Program Keceriaan Taman Berjadual

Acara Gotong Royong Program Keceriaan Taman Berjadual akan diadakan untuk membersihkan keseluruhan persekitaran Taman Ampangan Fasa 3 sempena menyambut Bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri 2010. Datanglah beramai-ramai dan bawa bersama peralatan-peralatan membersih.

Tarikh: 8 Ogos 10 (Ahad)
Tempat: Tapak Taman Permainan Taman Ampangan Fasa 3
Masa: mulai 8:00 pagi hingga 12:00 Tengah hari.

Setiap Wakil AJK Jalan bertanggungjawab terhadap kawasan masing-masing. Sila berhubung dengan Setiausaha untuk maklumat lanjut. Penyediaan minuman akan diselaraskan.

Thursday, July 29, 2010

Memperbaiki Lubang Alur Air dan Parit Di Jalan Cengal 25

Masalah kerosakan penutup lubang salur air dan longkang telah menghantui Warga keseluruhannya. Mereka berharap masalah tersebut dapat diperbaiki segera. Mereka mencadangkan pihak berkuasa membuat penghalang di atas parit dan lubang tersebut Jalan Cengal 25, di Taman Ampangan Fasa 3.

Hazard dan bahaya kemalangan terjatuh ke dalam lubang air yang dalam ini boleh membawa maut amat tinggi kerana laluan bersebelahannya kerap digunakan oleh warga Taman menuju ke sekolah atau ke Kg Panchor. Penutup lubang salur air tersebut yang sama paras dengan tanah telah kecurian dan mendedahkan bahaya kepada murid-murid dan warga yang menggunakan laluan ini. Begitu juga dengan longkang di sebelahnya tidak bertutup dan apabila hari hujan, air dari jalan raya akan mengalir laju ke longkang tersebut. Ini amat merbahaya kepada pejalan kaki atau penonggang motorsikal yang berkemungkinan boleh di bawa air terus ke longkang tersebut. Apabila telah termasuk dalam longkang itu, mangsa akan dihanyutkan terus ke dalam lubang air yg dalamnya lebih kurang 15 meter dan harapan mangsa untuk selamat amat tipis.

AJK KRT dan warga Taman mencadangkan agar kedua-dua tebing lubang air tersebut ditinggikan ke paras pinggang dan ditutup manakala longkang tersebut didirikan penghalang atau ditutup terus. Hazard lubang air dan longkang di Jalan Cengal 25 seperti di Kembaran A.

Buat masa ini, pemaju perumahan Era Baru sedang melaksanakan pembinaan projek rumah teres baru di bahagian utara Jalan Cengal 25 ini. Longkang di Jalan Cenggal 25 juga telah tertimbus oleh tanah yang dikorek semasa pembinaan dan ini telah mencetekkan longkang tersebut. Laluan air ini perlu dikorek semula bagi mengelakkan air melimpah ketika hujan lebat.

Surat permohonan telah dimajukan ke MPS dan sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan lagi mengenainya. Kami memohon agar mendapat pertimbangan pihak berkuasa sewajarnya bagi mempercepatkan pembaikan kerosakan itu dengan kadar segera. Ini untuk menjamin keselamatan dan mengurangkan kebarangkalian berlaku kemalangan terhadap warga Taman Ampangan Fasa 3. En Abu Zarim, AJK Jalan Cengal 25 dilantik sebagai penyelaras mengenai masalah ini.

Lampu-lampu Jalan di Tapak Permainan Kanak-Kanak dan Persekitarannya

Warga KRT telah memajukan permohonan untuk memasang lampu-lampu jalan bagi menerangi:
a. Persekitaran Taman Permainan Kanak-Kanak dan Tangki Air.
b. Laluan Susur Belakang Jalan Cengal 25.
c. Laluan Susur Jalan Cengal 26.
d. Laluan Susur Jalan Cengal 28.

Kedudukan lampu-lampu jalan berhampiran dari kawasan terlibat tidak dapat menerangi kawasan-kawasan tersebut. Pemandangan Taman Permainan, susur Jalan cenggal 25, 26 dan 28 tanpa lampu jalan di waktu malam.

Warga KRT memajukan permohonan ini berdasarkan perkara dan alasan berikut:
a. Padang Taman Permainan sering digunakan untuk acara perjumpaan dan keramaian penduduk.
b. Kedudukan taman ini di atas bukit dan gelap di waktu malam sering digunakan oleh pasangan-pasangan remaja Islam yang bukan muhrim datang berkhalwat di waktu malam terutama di hujung minggu. Teguran dan serbuan kerap dilakukan oleh penduduk apabila terserempak dengan mereka tetapi tindakan ini tidak mengurangkan kehadiran mereka. Kegelapan yang menyelubungi kawasan ini diwaktu malam memang agak terlindung dan menjurus untuk membuat maksiat.
c. Tangki air berada bersebelahan dengan taman permainan ini berpagar tetapi pagarnya sering dipotong bagi membolehkan pasangan-pasangan tersebut melakukan maksiat seperti berzina. Kondom-kondom yang telah digunakan sering ditemui dipersekitaraan di bawah Tangki Air tersebut.
d. Keselamatan tangki air ini juga perlu diambil perhatian. Sabotage seperti tindakan meracun boleh berlaku dan akibatnya kehidupan ribuan penduduk dipersekitarannya terjejas. Walaupun perkara ini belum pernah berlaku tapi kecurigaan terhadapnya perlu ada dan kebarangkalian boleh berlaku.
e. Susur laluan belakang Jalan Cengal 25 agak gelap di waktu malam dan sering digunakan oleh pasangan bukan muhrim berkhalwat dan menjadi laluan penjenayah melepaskan diri ke Kg Panchor.
f. Susur laluan Jalan Cengal 26 dan 28 juga agak gelap di waktu malam dan amat merbahaya kepada kenderaan dan pejalan kaki yang melaluinya.

En Rusman Sulaiman, AJK Jalan Cengal 28 ditugaskan sebagai penyelaras masalah ini. Keseluruhan warga taman tidak mahu bersubahat dalam kejadian maksiat yang sering berlaku di kawasan tersebut dan diharap pihak berwajib juga bersependapat dengan kami dengan membantu mengurangkan kemaksiatan itu dengan memasang lampu-lampu dipersekirannya.

Thursday, May 20, 2010

Masalah Memperlahankan Kenderaaan di Taman Ampangan Fasa 3

Warga Taman Ampangan Fasa 3 menyuarakan kebimbangan mengenai kekerapan kenderaan dipandu laju di dalam Taman Ampangan Fasa 3. Permohonan telah dimajukan ke Pihak berkuasa membina beberapa buah bonggol jalan di Taman Ampangan Fasa 3. Kedudukan bonggol-bonggol jalan sedia ada tidak menyeluruh dan tidak mampu mengekang keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya yang lain.
2. Keseluruhan bonggol-bonggol yang perlu dibina adalah sebanyak 15 buah. Pecahan kedudukan bonggol seperti berikut:
a. Persiaran Cenggal 1 – 3 buah.
b. Jalan Cengal 21 – 1 buah (bersebelahan Padang Permainan).
c. Jalan Cengal 25 – 5 buah.
d. Jalan Cengal 25/2 – 2 buah.
e. Jalan Cengal 26 – 1 buah.
f. Susur Jalan Cengal 26 – 2 buah (bersebelahan Tangki Air).
g. Jalan Cengal 28 – 1 buah.

Pembinaan jambatan melintasi Lebuhraya LEKAS sudah siap dan dibuka kepada lalulintas. Beberapa batang jalan di taman ini terutama Persiaran Cenggal 1 dan sebahagian Jalan Cenggal 25 telah menjadi jalan utama kepada beberapa buah taman perumahan lain seperti Taman Bukit Margosa dan Taman Jemelang Indah. Laluan ini juga boleh digunakan untuk susur keluar ke Kampung Pancor dan Sek Keb Pancor serta Sek Men Keb Pancor.

Warga Taman memohon pembinaan bonggol-bonggol tersebut atas alasan berikut:
a. Kadar lalulintas telah bertambah setelah jambatan melintasi Lebuhraya LEKAS siap dan dibuka kepada lalulintas pada 19 Apr 10. Jambatan ini juga merupakan laluan utama ke Taman Ampangan Fasa 3, Taman Bukit Margosa dan Taman Jemelang Indah serta susur ke Kg Panchor.
b. Kebarangkalian untuk berlaku kemalangan agak tinggi semasa penduduk Taman terutama ketika hendak mengeluarkan kenderaan dari rumah kerana kebanyakan jalan dalam taman perumahan agak sempit dan kenderaan di jalan raya bergerak laju semasa menuruni bukit yang curam. Pada awal pembukaan jambatan ini telah berlaku kemalangan kecil antara sebuah kereta dengan sebuah motorsikal. Walaupun ia dapat diselesaikan dengan baik tapi jika tidak ada tindakan segera dilakukan, kemalangan yang melibatkan nyawa mudah berlaku. Analisis hazard mendapati kemalangan jalan raya melibatkan nyawa adalah tertinggi dan memerlukan tindakan segera.
c. Kedudukan taman ini di atas bukit dan mempunyai jalan yang bercerun. Ini menyebabkan kenderaan menuruni bukit bergerak laju. Kemalangan jalan raya boleh berlaku terutama terhadap kanak-kanak yang berbasikal ke sekolah.
d. Kedudukan taman - taman permainan kanak-kanak dipertengahan Persiaran Cenggal 1 dan Jalan Cenggal 21 boleh mengundang kemalangan kepada kanak-kanak yang bermain dipersekitarannya terutama diwaktu petang semasa kebanyakan dari ibu bapa mereka pulang dari pejabat. Jika pemandu-pemandu ini gagal memperlahankan kenderaan semasa melalui kawasan ini, pastinya ia mengundang kearah kemalanga jiwa.
e. Kehadiran samseng jalanan mat rempit dari taman-taman berhampiran yang menggunakan curam jalan untuk berlumba terutama di waktu kerja dan hujung minggu boleh mengundang kecelakaan dan mengganggu ketenteraman penduduk.

Sekiranya peruntukan menjadi penghalang atas pembangunan ini, kami berharap keutamaan pembinaan bonggol-bonggol ini dilakukan di Persiaran Cenggal 1 dan Jalan Cenggal 25 kerana ia menjadi jalan utama untuk Taman-taman perumahan yang berhampiran.

En Fauzy, AJK Persiaran Cengal 1 dilantik sebagai penyelaras mengenai masalah ini.