Kata Aluan Pengerusi KRT

Assalamualaikum... Salam Perpaduan... Salam Satu Malaysia!

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua Warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Ampangan Fasa 3 menyertai setiap program yang dijalan oleh Ahli Jawatan Kuasa KRT Taman Ampangan Fasa 3. Penglibatan semua Warga ke program yang dijalankan akan mengeratkan lagi silaturahim seperti yang dikehendaki oleh setiap Warga. Aktiviti ini bukan sahaja mewujudkan integrasi antara kaum malah akan membantu kerajaan mencapai matlamat merangsang keharmonian yang sedia ada. Dalam kesempatan ini, sama-sama lah kita membantu Skim Rondaan Sukarela yang terdapat dalam Kawasan Rukun Tetangga Taman Ampangan Fasa 3 dan warga digalakan untuk menyertai Skim Rondaan Sukarela ini. Jadikanlah penglibatan Warga semua ke aktiviti yang dijalankan oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Ampangan Fasa 3 sesuatu yang menyeronokkan.

Permohonan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Ampangan Fasa 3 bermula pada pertengahan tahun 2006 lagi dan diluluskan pada 10 Okt 09 setelah persempadanan baru dengan KRT Taman Ampangan dilakukan. Persempadanan KRT Taman Ampangan Fasa 3 bermula dari Jambatan LEKAS hinggalah ke simpang empat Taman Bukit Margosa dihujung Jalan Cengal 25.

Pada tahun 1975, satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975 (P.U. (A) 279/75) telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut. Pada asalnya, Rukun Tetangga ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menjaga dan menjamin keselamatan penduduk setempat. Pada 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan di antara pelbagai kaum di Malaysia. Kemudian pada 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat. Oleh itu, penubuhan KRT dan Persatuan Penduduk adalah berbeza dan perlu diketahui perbezaannya.

Setiap KRT adalah digalakkan menganjurkan seberapa banyak kegiatan atau aktiviti berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan, selain program dan aktiviti untuk meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum. Aktiviti dan program ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan mengembeling tenaga menjayakan program-program perpaduan yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Taman Ampangan Fasa 3 yang tercinta ini. Walaupun penyertaannya adalah secara sukarela namun penyertaan berhemah dan padu demi perpaduan amatlah diperlukan. Luangkan masa seketika bersama KRT untuk manafaat bersama. Kita tidak boleh hidup berseorangan tanpa memikirkan keperluan masyarakat setempat. Tanggungjawab kita pada diri kita dan keluarga perlu dilakukan tapi tanggungjawab kita pada masyarakat tetap dituntut.

“WARGA MUAFAKAT, HIDUP BERKAT”